PingJe

Tuesday, February 5, 2013

Kehilangan itu Tetap Dirasa...

Apabila mendapat khabar dukacita tentang pemergian sahabat, ahli keluarga atau pun jiran-jiran, saya mudah berasa sebak dan pilu. Mungkin yang pergi itu terlalu berharganya kepada saya.

Seminggu sebelum arwah Lin pergi, seorang kenalan lama emak pergi meninggalkan kami. Selang 2 hari, kenalan ayah pula...dan semalam (4 Feb 2013) kenalan saya yang saya kenal di bangku sekolah lagi pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

Saya memang tidak percaya dengan debaran / kerdipan mata / atau sebarang mimpi yang boleh menjejaskan minda dan perasaan saya. Tetapi, sebelum ketiga-tiga perkara tersebut berlaku, terdapat tanda-tanda (tidak perlu dinyatakan di sini) yang berlaku kepada diri saya yang membuatkan jiwa saya tidak keruan.
*** Saya bukan psikik... tetapi mungkin berlaku tanpa sengaja.

Cuma saya tidak tahu apa yang akan berlaku... sampailah perkara tersebut berlaku. Seperti khabar pertama, kedua dan yang ketiga : mereka masing-masing adalah kenalan saya dan keluarga dan juga penduduk asal Kampung Selamat.



Terduduk saya setelah mendengar khabar berita pemergian arwah yang selang beberapa hari dengan kejadian sebelum ini. Saya berasa sangat terkilan kerana tidak dapat menziarahi arwah dan tidak dapat menjenguknya di hospital sebelum ini.

Terbayang-bayang wajahnya yang suka tersenyum dan ketawa. Walaupun hanya berhubungan melalui FB dan sekali sekala berjumpa di kedai mamak....kami tetap kenalan lama...hubungan yang mungkin ringkas, tetapi tetap satu agama.

Pemergian beliau membuatkan saya terfikir : Hidup kita ini terlalu singkat. Saya yang kini berjauhan dengan suami berasa sangat gundah gulana kerana tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan. Masa depan bukanlah boleh diintai atau diteka sembarangan. Hidup dan mati adalah rahsia Allah S.W.T.

Kita hanya merancang, dan segalanya telah ditentukan sejak roh kita dijadikan lagi. Apa yang penting, yang hidup ini perlu sentiasa beringat kepada segala larangan Allah S.W.T. Sentiasa berjalan di landasan yang betul dan sentiasa berpegang teguh dengan ajaran agama.

Alhamdulillah.... semua urusan arwah selesai di dunia. Kita doakan yang terbaik buat arwah di sana. Mudah-mudahan urusan beliau dipermudahkan di sana kelak. Anak-anak beliau akan sentiasa mendoakan beliau...termasuklah keluarga, kenalan, sahabat handai dan sesiapa sahaja yang mengenali beliau akan terus mendoakan kesejahteraan beliau di sana.

Pemergian bukan untuk diratapi sepanjang hayat, tetapi yang hidup ini perlu terus hidup dengan penuh keinsafan.

Al-Fatihah untuk Lin....(Norazlin Ishak)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...