PingJe

Tuesday, April 10, 2012

Sekadar Renungan...

Baru-baru ini ada seorang pelajar bertanyakan sesuatu...
Katanya dia telah dirisik oleh sebuah keluarga yang ingin menyatukan hubungan kekeluargaan supaya lebih erat.

Saya terdiam seketika apabila mendengar dia bercerita.

Saya juga pernah berada dalam situasi pelajar saya... di mana seorang rakan baik emak saya mahu menjodohkan saya dengan salah seorang anak lelakinya... ketika itu saya baru sahaja menginjak umur 14 tahun.

Mujur emak lebih mementingkan pelajaran... katanya itu saja harta yang mampu dia berikan di dunia ini.



Saya yakin bahawa terdapat ramai ibu bapa di luar sana yang mementingkan pelajaran anak-anak dan tidak mahu mereka diulit perasaan cinta sesama mereka. Jadi, bagaimana anda selaku ibu bapa cuba untuk mengawal perasaan muda mudi yang seakan-akan tidak sabar untuk merasai kehangatan cinta?

Sedikit nasihat daripada saya selaku seorang guru yang sentiasa diasak soalan sebegini oleh pelajar-pelajar saya...

Ibu bapa seharusnya peka dengan perubahan anak-anak. Mereka mudah berubah jika termakan pujuk rayu "teman" baik tapi mesra. Kalau boleh, jadilah sahabat mereka yang mampu mendengar luahan hati dan perasaan mereka. Jika ibu bapa merupakan sahabat baik di rumah, mereka tidak akan mencari "sahabat" lain di luar rumah.

Ibu bapa yang sibuk bekerja mungkin terlupa bahawa anak-anak itu merupakan ujian terbesar dikurniakan Allah S.W.T kepada kita. Jika betullah acuannya, maka eloklah budi pekerti mereka.

Saya seringkali mendengar keluhan pelajar-pelajar yang kurang kasih sayang di rumah. Alhamdulillah, sepanjang tempoh menjadi guru, saya berjaya membimbing pelajar-pelajar saya (Islam dan bukan Islam) ke jalan yang lebih baik. Bukan mendabik dada...tapi kadang-kadang pelajar-pelajar ini takut untuk bersemuka dengan guru kaunselor atau pun ibu bapa mereka sendiri. Mungkin kerana cara mereka tidak kena sewaktu mendengar luahan hati pelajar-pelajar yang mereka labelkan sebagai "bermasalah".

Wahai ibu bapa dan guru-guru... kita juga pernah menjadi remaja. Hidup kita mungkin tak sama dengan dunia mereka sekarang ini. Tapi, tak salah jika kita bersabar mendengar luahan hati mereka... dan berikanlah nasihat yang baik dengan nada suara yang boleh diterima. Mereka manusia biasa...kita manusia biasa... Jangan hanya kerana kita bergelar DEWASA, kita boleh memperkecil-kecilkan mereka...

Kepada mana-mana remaja yang ingin bercinta... mintalah izin dengan ibu bapa. Bawalah "kawan" / "teman" anda berjumpa dengan ibu bapa supaya mereka tidak berasa risau. Cuma... ingatlah, sayangi diri anda sebagaimana ibu bapa anda sayangkan anda...sehinggakan seekor nyamuk pun tidak dibiar menghisap darah anda dari kecil hinggalah besar...

Kalau ibu bapa tidak benarkan, mungkin ada sebab yang anda tidak tahu. Hormatlah perasaan ibu bapa dan sayangilah mereka...hidup kita ini sementara. Jangan sampai mereka menutup mata tanpa anda sempat memohon maaf atas keterlanjuran kata-kata / perbuatan....

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...