PingJe

Wednesday, June 22, 2011

Radio Buruk.....

Hari ni...bersembang-sembang dengan rakan sekerja. Topik yang agak menarik keluar secara tiba-tiba. Hal perkahwinan lewat atau cepat.

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat pelbagai golongan di sekeliling kita yang boleh dikategorikan sebagai penyibuk atau pun ‘radio buruk’. Mana tidaknya...kahwin awal pun jadi isu, apatah lagi anak dara yang kahwin lewat.

Kalau lelaki kahwin lewat tidak mengapa katanya...tetapi kalau anak dara yang berusia 30 tahun ke atas dan masih lagi mencari-cari jodoh yang sesuai dikatakan terlalu memilih.  Kadang-kadang geram juga dengan orang-orang yang berfikiran sempit sebegini. Kalau dah jodoh memanglah tak ke mana, tapi ingat jodoh tu macam ikan kat pasar? Senang je nak pilih-pilih?

Sama ada kita tinggal di Bandar atau di kampung... memang akan menjadi bualan radio buruk yang bersepah-sepah kerana golongan ini kebanyakannya yang tidak bekerja atau pun yang bekerja tetapi masih bosan dengan tugas seharian mereka.  Maka tidak hairanlah kalau radio-radio buruk ini akan menjaja cerita mengenai anak si polan yang masih tak kahwin-kahwin walau usia dah menjejak 30 tahun dan ke atas.
Hina sangatkah kalau kahwin lewat? Ingatlah, bahawa setiap kejadian dan perkara itu ditentukan Allah S.W.T. Jika Dia tidak membuka laluan jodoh kepada seseorang itu, maka tiadalah berlakunya pembinaan masjid yang sangat-sangat indah kehidupannya.  Radio-radio buruk ini tidak memahami atau buat-buat tak faham akan hal sebegini kerana kita ini beragama Islam – tidak patut menabur fitnah atau melaga-lagakan sesama kita.

Dan yang paling seronok apabila dah kahwin lama tapi tak dapat anak... hmm...ini pun bakal menjadi liputan khas radio-radio buruk ini. Siap dijaja satu kawasan bahawa si polan itu tak mampu mendapat cahayamata – disertakan dengan cerita tambahan yang mungkin empunya badan pun tidak tahu akan hal sedemikian.

Kasihan juga saya apabila rintihan kawan-kawan mengenai permasalahan mereka. Yang mampu saya katakan – Usaha dan berdoa. Kerana Allah itu Maha Penyayang. Setiap perkara yang berlaku itu ada sebabnya yang mungkin hijabnya belum terbuka untuk kita melihat dan menerima perkhabaran gembira. Allah suka akan hambanNya yang sentiasa berdoa kepadaNya memohon sesuatu kerana itu menunjukkan bahawa kita sentiasa mengingatiNya sebagai hambanya yang kerdil....

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...