PingJe

Wednesday, February 9, 2011

Usia perkahwinan...semakin meningkat, semakin kukuh tiangnya....

Genap sudah usia perkahwinan - 9 tahun. Senyap tak senyap, sudah selama itulah rumah tangga dibina siap dengan rencah kehidupan yang pelbagai. Bagaimana anda menyambut hari ulangtahun perkahwinan anda? Kami berdua tidak menyambutnya besar-besaran, cukup dengan apa yang ada. Tiada hadiah yang hebat-hebat...cuma sekadar pelukan erat dan doa dengan harapan supaya kami terus tabah hadapi segala rintangan yang mendatang.

Ingin juga membelikannya sesuatu, namun dia kurang gemarkan hadiah. Saya pun begitu juga, kurang gemar membazir kerana keperluan anak-anak lebih utama. Lagipun hari ini macam hari lain juga, tiada apa yang lebih atau pun kurang.

Alhamdulillah, kami masih sihat dan kuat untuk sama-sama membina keluarga yang makin membesar. Anak pun akan bertambah, maka poket pun kena dibesarkan sedikit.

Rahsia kebahagiaan rumah tangga itu pelbagai, namun saya ingin kongsikan beberapa petua yang saya pelajari dari sahabat-sahabat dan juga keluarga:

1)  Solat berjemaah - kalau sempat bersama. tapi perlu cuba juga. Sibuk itu bukan alasan.
2) Pelukan erat - dikatakan akan memanjangkan usia kita dan juga perkahwinan. InsyaAllah.
3) Selalu ingat ibu bapa (kedua belah pihak) - syurga kan di bawah tapak kaki ibu.
4) Membayar zakat - insyaAllah...rezeki keluarga tidak akan putus walaupun hampir hujung bulan.
5) Suami adalah ketua keluarga walaupun bergaji kecil dari isteri - hormatilah keputusan beliau setelah berbincang mengenai sesuatu hal.
6) Cari waktu untuk meluahkan masalah hati ke hati - isteri ni perlukan tempat mengadu, dengan harapan suami akan mendengar. Suami tidak perlu bercakap apa-apa jika tidak perlu. Isteri cuma perlukan teman mendengar.
7) Elakkan berlaku curang....
8) Bagi yang panas baran...tidur di ketiak suami... - saya ada terbaca di satu majalah agama, isteri yang panas baran akan kurang barannya jika tidur di lengan / di ketiak suami...suami perlu selawat sambil menghembuskan ke ubun isteri dengan doa supaya hati isteri lembut sentiasa.
9) Jangan terlalu syak wasangka / terlalu cemburu - syaitan itu cukup suka kalau kita bergaduh...
10) Sentiasa lah berdoa akan kesejahteraan rumah tangga kita - supaya pasangan kita itu kekal dunia akhirat...
InsyaAllah.

Saya sering meminta nasihat dari orang yang lebih arif  atau pun mendengar ceramah motivasi / agama kerana sebagai insan biasa, tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Jika anda mempunyai masalah dengan pasangan, jangan terus bercerita dengan orang luar, tidak berapa elok. Lebih baik berbincang dengan pasangan dan cuba selesaikan dahulu. Masalah itu perkara biasa, tetapi jika tidak ditangani, ia boleh merebak. Jika tidak dapat berbincang, barulah berjumpa dengan yang pakar.

Mudah-mudahan kita dapat berkongsi ilmu kerana ilmu itu milik Allah...kita ini cuma menyebarkannya sahaja...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...