PingJe

Tuesday, January 4, 2011

Ni...siapa yang nak masuk sekolah ni?....

Hari persekolahan bagi anak-anak kita sudah masuk hari ke-2. Gelagat anak-anak yang baru Tahun 1 ini pelbagai ragam dan tidak kurang yang seronok apabila berjumpa dengan kawan-kawan baru. Tidak kurang juga dengan yang menangis apabila ditinggal ibu bapa.

Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan. Kembar sangat gembira apabila dihantar ke sekolah agama dan sekolah kebangsaan. Tidak perlu tunggu lama-lama sampai saya pun disuruhnya balik sahaja. Air mata dan doa mengiringi mereka. Terasa bagai sekejap masa berlalu. Sudah lebih enam tahun kami menjaga mereka dari kecil hingga kini. Saya pasti, anda juga berasa sebegitu. Sedih kerana akan berjauhan. Gembira kerana mereka akan mendapat pendidikan yang lagi bagus.

Cuma...sedikit kekesalan bertamu di hati ketika melihat karenah ibu bapa yang agaknya terlebih teruja menghantar anak ke sekolah. Apabila anak-anak beratur mengikut kelas masing-masing, masih terdapat ibu bapa yang menyibukkan diri beratur bersama-sama dengan anak-anak mereka. Ruangan menjadi sempit dan panas. Sibuk mengambil gambar seakan-akan tidak puas. Hairan saya dibuatnya.

Pengacara majlis sudah berkali-kali memaklumkan kepada ibu bapa supaya memberi ruang kepada anak-anak untuk beratur dengan selesa. Entahlah...saya pun tak faham. Nak ditegur...sudah dewasa. Takkanlah tak reti-reti biarkan anak berdikari seketika. Duduklah di tempat yang disediakan. Ini tidak, mereka pula yang sibuk beratur sambil bersembang-sembang dengan rakan masing-masing.

Hairan juga, siapa sebenarnya yang teruja ni? Ibu bapa atau anak-anak? Harapan saya...biarlah pihak sekolah yang menguruskan anak-anak. Itu sudah menjadi tanggungjawab mereka. Tahu lah mereka menguruskan anak-anak kita kerana mereka lebih arif dengan keadaan persekitaran sekolah.

Kembar sangat seronok apabila sudah masuk ke kelas. Selesai membayar yuran...abang menyuruh saya lekas-lekas balik. Dia tersenyum saja. Adik pun sama. Hati saya lega ketika melihat raut wajah mereka yang ceria. Terubat sudah rasa di hati melihat mereka kian bersemangat.

Mudah-mudahan anak-anak kita sentiasa beroleh rahmat dan menjadi insan yang soleh dunia dan akhirat. InsyaAllah....

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...