PingJe

Friday, December 24, 2010

Usah terlalu bersedih....

Keputusan PMR sudah pun diumumkan dengan selamatnya di semua sekolah di seluruh negara. Bagaimana keputusan anda? Anak anda? Anak saudara anda? Baguskah? Atau cukup makankah?

Saya melihat ada yang menangis - gembira atau bersedih dengan keputusan yang diterima. Ada juga pelajar saya yang sangat gembira kerana mendapat 7A dan 8A. Saya tumpang bangga dengan pencapaian mereka. Tidak kurang juga dengan sekadar 2A atau 4A sahaja. Bagi saya, itulah hasilnya jika usaha kita setakat itu sahaja.

Saya juga pernah berada di tempat mereka juga. Cuma yang membezakannya adalah tahun - di mana tidak terlalu ramai mendapat semua A. Dan sekarang ini, melimpah ruah yang mendapat keputusan cemerlang. Tidak kurang juga yang memang sudah menyangka akan keputusan mereka.

Pada saya, PMR ini platform yang amat baik untuk ke Tingkatan 4 dan seterusnya merencanakan hidup ke jurusan mana yang dipilih. Jika tidak mendapat keputusan yang baik, jangan cepat putus asa, SPM merupakan laluan yang getir untuk terus menjadi harapan ibu bapa dan keluarga. Jika anda tidak mendapat apa yang diinginkan dalam PMR, usaha lagi. Anda ada 2 tahun lagi sebelum melangkah ke alam dewasa. Anda perlu belajar dengan kemampuan anda sendiri. Jangan terlalu taksub dengan permintaan orang di sekeliling. Hanya anda yang tahu kemampuan diri anda sendiri.

Saya sudah berdepan dengan pelbagai ragam pelajar sepanjang menjadi guru. Nasihat saya...menangis air mata darah tidak berguna jika anda tidak cuba berusaha di peringkat awal. Pelajaran bukan boleh diraih sekelip mata. Jika gagal sekali, jangan biarkan kegagalan itu menguasai diri anda.

Kepada ibu bapa yang terlalu mengharap....ukurlah baju di badan anak anda sebelum meletakkan harapan terlalu tinggi. Stress boleh membunuh! Kadang kala, apabila terlalu mengharap, semakin besar dugaan dan halangan yang tiba. Hanya doa dan dorongan yang boleh membantu anak-anak mencapai cita-cita mereka.

Dalam hidup ini, kegagalan merupakan guru yang agak baik untuk seseorang itu berubah menjadi lebih tabah dan sanggup mengubah hidup mereka menjadi lebih baik. Maka...jangan putus asa. Usaha lagi.....

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...