PingJe

Friday, December 31, 2010

Entri terakhir 2010

Setahun sudah pun selamat kita tempuh. Suka, duka, sedih, gembira dan pelbagai rasa menyentuh di benak masing-masing. Setiap insan mungkin berlainan kehidupan yang ditempuh sepanjang tahun 2010. Apakah anda sudah bersedia melangkah ke tahun baru? Suka atau tidak, meningkat setahun lagi umur kita. Alhamdulillah...masih lagi dikurniakan nyawa dan kesihatan untuk menempuh dugaan, cabaran hidup pada tahun yang baru ini.

Saya berasa agak sedih kerana permohonan pertukaran ke sekolah lain tidak diluluskan atas alasan terlalu ramai guru di daerah tersebut. Sedih juga kepada rakan-rakan yang terpaksa berpindah atas arahan Jabatan. Kadang-kadang saya tidak faham dengan penyusunan semula ini. Namun saya tiada kuasa untuk bersuara.

Maka, tahun baru ini agak suram kerana saya berasa kurang bertenaga sedikit atas beberapa faktor. Dorongan keluarga dan rakan-rakan membantu saya mengharungi tahun baru ini dengan sedikit semangat di hati.

Kembar saya akan memulakan Tahun 1 pada 2011 ini. Kepada semua ibu bapa, saya ucapkan tahniah kerana anak-anak anda mendapat yang terbaik daripada anda semua. Pendidikan itu terlalu penting, jika tidak diasuh dan dididik dari kecil, mereka mungkin akan bergelandangan pada masa akan datang. Dan kepada ibu bapa yang berpendapatan sederhana, anggaplah anak-anak ini akan membalas jasa anda semua dengan segala persiapan yang anda lakukan untuk menjadikan mereka insan cemerlang dari segi sahsiah dan akademik. Wang ringgit boleh dicari, tetapi anak yang mengenang budi amat sedikit pada masa kini. Doakanlah kejayaan mereka sehingga akhirat kelak.

Saya agak terasa dengan belanjawan kami sekeluarga pada tahun ini. Maklumlah, harga barang semuanya berlumba-lumba dinaikkan. Rabak juga poket kami kerana setiap barangan yang dibelikan harus digandakan. Maklumlah, kembar. Sebab itu saya tabik kepada ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang bersekolah pada tahun yang sama. Mesti sudah membuat belanjawan seawal yang mungkin. Dan saya berasa kasihan kepada golongan yang agak memerlukan bantuan kewangan kerana kemelut ekonomi yang seakan tidak berkesudahan.

Tahun ini akan dimulakan dengan rutin harian seperti tahun-tahun lepas. Kebanyakan guru juga akan menjalani rutin yang sama tetapi dengan kelas-kelas berbeza. Dan rutin saya sebagai Guru Pusat Sumber akan berulang lagi pada tahun ini. Terasa bosan dengan tugas yang sama, dan saya rasa kurang bersemangat untuk menjalani kehidupan yang sama. Mengeluh tidak mendatangkan hasil, tetapi saya rasa bosan dengan tugas saya.

Apa-apa pun, selamat tahun baru kepada semua. Saya tiada azam baru pada tahun ini. Semuanya hanya untuk anak-anak dan keluarga. Moga kehidupan anda semua dirahmati dan dilindungi Nya sehingga ke penghujung nyawa. Kepada sesiapa yang kehilangan ahli keluarga, sahabat handai pada tahun 2010, hadiahkanlah mereka Al-Fatihah dan doakanlah kesejahteraan roh mereka. Kita yang hidup ini perlu meneruskan langkah sehingga kita dipanggil kelak.

2 comments:

Rania Collections said...

emm..sedihnya bunyi..knp kak..rezeki bulan 6 tahun 2011 kot..natii..

sophietarmizi said...

sedih la....huhuhu.....x tau nak ckp macam mana....:(

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...