PingJe

Monday, November 22, 2010

Tanggungjawab guru atau ibu bapa?

Dilema seorang guru atau cabaran seorang guru? Dua-dua pun saya rasakan betul. Mungkin ini dugaan saya sebagai seorang guru yang perlu berbuat sesuatu jika mahukan anak-anaknya berjaya.

Pada pertengahan tahun ini, saya dapati kembar saya hanya boleh mengenal huruf tetapi tidak dapat membaca. Naik angin juga kerana sudah hampir dua tahun saya menghantar mereka ke tadika, namun mereka tidak mampu membaca dengan baik. Darah sudah sampai di kepala ketika mengajar kembar membaca. Saya memang tidak boleh mengajar darah daging sendiri - mudah melenting dan naik tangan.

Jadi saya memikirkan langkah terbaik untuk melatih kembar membaca. Itu pun dalam Bahasa Malaysia. Kebetulan pula saya ada membeli helaian-helaian bantuan untuk kelas pemulihan di sekolah saya. Terus saja saya gunakan helaian-helaian tersebut. Naik angin juga ketika mengajar anak sendiri. Sampai berair mata si kembar dibuatnya. Namun saya yang keras hati ini terus memaksa mereka membaca.

Alhamdulillah...masuk minggu kedua, si kembar boleh mengeja dan membaca. Tak lama kemudian, baru saya tahu yang silibus di tadika memang begitu. Sistem bacaan cepat digunakan. Lebih kurang bacaan Iqra'. Tapi saya tidak gemarkannya kerana kembar saya agak lambat dalam mengenal bunyi. Saya rasa sedikit terkilan kerana gurunya tidak memaklumkan hal tersebut kepada saya. Nasib baik saya dapat tahu - itu pun lewat setahun.

Apa yang saya harapkan, guru-guru tadika lebih peka dengan keperluan anak-anak yang lambat membaca atau mengenal huruf dan memaklumkan kepada ibu bapa. Dan saya berpendapat, mengeja merupakan asas bacaan. Jika anak-anak diajar bacaan cepat, mereka diajar menghafal buku tersebut. Jika disuruh membaca buku yang lain, mungkin akan mendatangkan masalah.

Mungkin juga hanya anak-anak saya yang bermasalah. Sekali fikir, ini merupakan dugaan besar bagi saya. Jika saya mampu mengajar anak orang lain, takkanlah anak sendiri terbiar. Jadi, saya harus pikul tanggungjawab ini dengan sebaik yang mungkin.

Dan hari ini...yang saya risaukan sudah berlaku. Bahasa Inggeris yang sebati dengan saya merupakan perkara yang susah bagi kembar saya. Dan saya sudah agak terlewat dua tahun kerana saya beranggapan kembar saya sudah mendapat pendedahan di tadika. Saya salah sekali lagi.

Maka...singa betina terpaksa menunjukkan taringnya lagi. Merah mata si kembar kena marah hari ini. Kasihan juga...tetapi untuk mengajar mereka, terpaksa lah saya menjadi guru yang garang. Nasib baik rotan tidak ditangan. Saya sudah lama tidak memegang rotan sejak kembar berusia tiga tahun. Saya tidak mahu membiasakan diri dengan rotan. Saya lebih suka gunakan suara ataupun gunakan sahaja senjata saya...Silent Treatment. Kembar saya tidak sukakan Silent Treatment kerana saya tidak akan melayan kehendak mereka selama mana yang saya rasakan perlu....

Hari ini bermulalah pembelajaran di rumah. Saya hanya mampu mengajar yang saya terdaya. Nasib baik internet banyak membantu. Saya tidah mahir mengajar kanak-kanak sekolah rendah. Kepakaran saya hanya di sekolah menengah di mana pelajar sudah mempunyai asas yang agak baik. Sekarang ini saya terpaksa menyediakan asas yang kukuh buat kembar saya.

Saya ada menelefon senior saya yang mengajar di Convent Jalan Peel yang juga mengalami masalah sama dengan saya. Beliau mengamalkan sesi drilling atau memaksa anak-anaknya menulis dan membaca menggunakan pelbagai jenis buku. Tumpuan perlu diberi sepenuhnya kerana anak sendiri mungkin manja dan tidak mahu untuk membuat kerja lebih. Jadi...nasihatnya akan saya usahakan supaya kembar saya bersiap sedia untuk memasuki Tahun Satu yang akan lebih mencabar lagi.

Jika anak-anak anda tidak cemerlang dalam peperiksaan...jangan terlalu marah atau memaksa. Lihat pada kemampuan dan usaha mereka. Dan tidak lupa juga....peranan ibu bapa dalam mencorak pemikiran anak-anak. Saya telah belajar banyak benda hari ini. Dan saya tidak mahu menjadi ibu yang terlalu memaksa tetapi perlu pastikan asas itu kukuh sebelum mereka melangkah lebih jauh. Untuk asas yang lebih kukuh, pengorbanan masa, tenaga dan wang perlu selari.

Perlu anda tahu...kemasukan ke sekolah rendah merupakan titik tolak nasib anak-anak anda kelak. Jika masuk ke kelas yang baik...InsyaAllah. Jika dimasukkan ke dalam kelas yang lemah...faham-faham sajalah. Saya tidak mahu menunding jari kerana saya lebih arif tentang dunia perguruan. Guru juga manusia biasa. Ada hati dan perasaan. Yang membezakan guru adalah niat mereka dalam mendidik anak bangsa. Jika kelas lemah sekalipun...kalau guru tersebut berasa belas terhadap anak didiknya, dia akan mendidik dengan harapan pelajar itu berjaya. Dan saya sudah berjumpa dengan golongan guru yang sentiasa berkata...."Asalkan dapat gaji hujung bulan, sudahlah..." Dan golongan guru inilah yang harus dielakkan untuk mengajar anak-anak kita.

Kepada ibu bapa di luar sana...menjadi ibu bapa kadang-kadang memaksa kita melakukan di luar jangkauan kita. Namun itu sudah menjadi tanggungjawab kita. Jangan nanti terlewat dan kita menyalahkan orang lain. Saya menyalahkan diri sendiri kerana tidak melihat hal ini dengan lebih awal. Dan bagi semua guru....jasamu tetap saya kenang dan tanpa mereka, saya tidak akan berdiri di sini...berjaya dalam kehidupan.

2 comments:

De'din said...

anak buah saya waktu 3 tahun
dah boleh membaca
masuk 4 tahun dah boleh baca iqra
otak dia mmg cpt pick up
tpi umi dan walid dia selalu ambil peranan bab2 ni

sophietarmizi said...

emmm....bagus tul tu....tu la, mungkin sy terlepas pandang hal ini...rasa cam menyesal lak. tp mmg dah bagi mcm2 bhn bacaan sejak 4 thn. mgkin diorg perlu masa kot. tp, alhamdulillah, skarang ni dh nampak perubahan skit...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...