PingJe

Saturday, November 6, 2010

Tak Kena Tempat...

Semalam saya pergi ke salah sebuah Shopping Mall di Kuala Lumpur bersama keluarga sekadar untuk berjalan-jalan dan membeli sedikit peralatan. Setelah selesai membeli barang, waktu Asar pun tiba. Maka saya dan suami serta anak-anak segera beredar menuju ke surau yang terdekat. Untungnya di Mall ini terdapat surau di setiap tingkat walau pun sederhana besar. Ini memudahkan pengunjung untuk bersolat.

Saya dan anak perempuan segera ke surau wanita. Ketika itu terdapat lebih kurang 7 atau 8 orang muslimat yang sedang bersolat. Surau itu memang sederhana besar kerana saya terpaksa menunggu giliran untuk bersolat. Yang saya sakit hati... ada la pula seorang wanita ini sedap berbaring sambil bersembang dengan anak lelakinya yang kecil dan tidak mempedulikan orang yang ingin menggunakan ruang tersebut untuk bersolat.

Setelah selesai berwudhuk, saya memegang kain telekung dan beratur di belakang seorang muslimat yang hampir selesai bersolat. Di sebelah saya terdapat juga 2 orang sedang menunggu giliran masing-masing. Selesai sudah muslimat itu bersolat dan berdoa, dia membuka sedikit telekungnya. Lega rasa hati kerana giliran akan tiba.

Tetapi... dia membuka beg tangan dan mencapai alat solek dan mula menyapukan bedak dan alat solek yang lain tanpa mempedulikan saya yang sedang beratur di belakangnya. Sedangkan orang lain tergesa-gesa bangun memberi laluan kepada mereka yang sabar menunggu. Muslimat yang beratur di sebelah saya turut memandang kelakuan orang yang tidak berhemah itu.

Mujurlah seorang muslimat di sebelahnya sudah selesai bersolat dan bingkas bangun. Saya segera menyarung telekung dan mula bersolat. Selesai berdoa, saya bingkas bangun dan orang yang perasan cantik tadi yang asyik membelek mukanya telah pun beredar menuju ke cermin yang lagi besar daripada cermin mukanya. Kali ini untuk memakai tudung pula.

Apa yang saya kesalkan adalah sikapnya yang ingin melawa tidak kena tempat. Padahal telah disediakan cermin untuk kegunaan semua. Tandas juga berdekatan. Saya terus saja mengajak anak ke tandas tersebut untuk menggunakan cermin yang lagi besar...Puas Hati Saya!!!!

1 comment:

midonz said...

saje nak tunjuklah.. make up set branded maa.. hehehehe..
Anyway berpada-padalah jangan pentingkan diri sendiri je...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...