PingJe

Monday, November 1, 2010

Kerja Yang Tak Habis-habis....

Bulan November sudah menjengah. Bagi kami yang berada di sekolah sedang sibuk dengan urusan pemarkahan peperiksaan akhir tahun, penyediaan sijil yang pelbagai jenis dan tak kurang juga penyemakan kehadiran pelajar dalam Buku Register yang amatlah memeningkan kepala jika ada terdapat kesalahan walaupun kecil.

Saya masih lagi terasa bahang awal tahun 2010 dan kini penghujungnya kian tiba tanpa mahu berhenti walau pun sesaat. Sudahkah kita jalankan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa, pekerja dan individu sepanjang tahun 2010? Sudahkah kita memenuhi azam yang dibuat pada akhir tahun 2009? Saya pasti anda ada jawapannya sendiri.

Ada juga rakan-rakan yang berkata : Seronoknya jadi cikgu, cuti sekolah turut bercuti panjang...
Hakikatnya, hanya mereka yang bergelar guru sahaja yang faham akan tugas masing-masing yang dirasakan tidak pernah habis - hmm...yang berdedikasi dengan tugas, tidak termasuk mereka yang berasakan terpaksa menjadi guru hanya kerana sudah tidak dapat kerja lain...maafkan saya, ini hakikat di bidang ini.

Yang menjadi guru kelas tahunan - perlu menyiapkan Kad 001 - yang sebenarnya ditindan dengan Pengisian Data SMM secara online. Tak lupa dengan pemarkahan kelas secara menyeluruh. Kalau guru kelas mengajar 2 / 3 subjek, penandaan kertas perlu dilakukan segera sebelum tarikh akhir penyerahan markah ke Unit Peperiksaan Dalaman. Bab Yuran pun menjadi masalah guru juga. Ada pelajar yang tidak mampu membayar dan ada juga sengaja tidak membayar. Kalau cikgu itu baik hati, dihulurnya wang poket sendiri (tapi tengok jenis pelajar lah).

Pecutan akhir untuk Tingkatan 5 dan 6 Atas sedang rancak berlangsung di sekolah kami. Semua pelajar perlu membuat persiapan akhir sebelum SPM dan STPM. Maka, sudah menjadi tugas guru untuk menyediakan bahan-bahan yang diperlukan. Tidak kiralah subjek apa pun, penetapan standard kualiti guru dikatakan bergantung dengan pencapaian pelajar...kalau ramai lulus, senyum sampai ke telinga. Tapi, kalau ramai gagal...adakah itu kesalahan guru? Saya pasti, ada jawapannya kerana guru tersebut lebih mahir akan pelajar dalam kelasnya sendiri.

Yang menjadi guru kelas Tingkatan 5 dan 6 lagi susah. SPM dan STPM makin tiba. Sijil berhenti sekolah perlu disiapkan sebelum hujung tahun. Satu kelas ada lebih kurang 42 orang (minima). Sijil perlu ditaip satu persatu. Hmmm...boleh bengak jari jemari. Sijil Ko-kurikulum dan sijil lain-lain perlu disiapkan juga. Kami sebagai guru ni, tidak mempunyai Personal Assistant (PA) - kami lah guru, kami lah PA, kami lah segala-galanya. Nasib baik niat kami hanya berkerja Demi Allah. Ringanlah beban kami sedikit.

Yang menjaga bilik-bilik khas seperti Pusat Sumber, Bilik PPSMI, Makmal Sains dan lain-lain, pada masa inilah aktiviti mengemas dan menyusun atur segala benda di dalam bilik-bilik tersebut. Saya tidak terkecuali. Pengalaman yang lepas-lepas banyak mengajar saya supaya lebih efisien dalam melaksanakan tugas. Jadi, tugas pada akhir tahun tidaklah begitu berat sehingga ada yang menjeling mata kerana saya boleh goyang kaki pada hujung tahun. Sijil-sijil Pengawas PSS sudah saya siapkan sebelum akhir Oktober kerana tidak mahu berebut-rebut mengejar tandatangan Pengetua pada akhir tahun. Mesyuarat Penyelarasan Pengawas PSS dan pemilihan AJK Induk Badan Pengawas sudah diadakan pada akhir Oktober untuk memudahkan tugas saya pada awal tahun hadapan dan tidak perlu berebut-rebut menetapkan tarikh Mesyuarat Agung pada tahun depan. Saya sudah menyiapkan laporan tahunan yang perlu diserahkan kepada Pusat Kegiatan Guru (PKG) Rawang. Secara keseluruhannya, tugas saya 90 peratus sudah siap. Hanya perlu dibuat penyerahan sahaja.

Cuti akhir November hingga Disember - ada yang 'paksa rela' menjaga SPM. Bab itu yang payah sedikit. Kadang kala ada orang yang tidak berperikemanusiaan sanggup 'memaksa' rakan sekerja menggantikan mereka yang telah dilantik sebagai Ketua atau Pengawas SPM. Janganlah menyusahkan orang lain. Itu tanggungjawab!

Ada kes yang menarik : sebelum hujung tahun, tiket melancong sudah ditempah ke merata tempat supaya dapat mengelak menjadi Pengawas SPM. Kasihankanlah orang lain yang tidak terpilih pada tahun tersebut kerana terpaksa mengganti anda yang bersikap sebegitu.

Orientasi Tingkatan 1 bakal berlangsung akhir Disember. Penyerahan buku teks dan kemasukan pelajar Tingkatan 4 mengikut aliran juga tersenarai dalam aktiviti akhir Disember. Jadi, sebenarnya, tugas kami tidak pernah selesai. Cuma ada harinya yang kami bercuti panjang setelah setahun melawan stress dan konflik diri berhadapan dengan pelbagai situasi di sekolah.

Yang pastinya, biarlah orang mengata : Cikgu boleh goyang kaki bercuti di rumah. Sedangkan masih ada guru yang yang perlu bertugas mengikut spesifikasi bidang tugas mereka pada cuti sekolah. Kami bekerja sehingga ke rumah. Jangan asyik membandingkan tugas. Jalankanlah tugas anda dalam apa bidang sekali pun. Itu sudah menjadi tanggungjawab masing-masing.

Dan yang pasti...tugas ini akan bersambung pada tahun hadapan. Mungkin bertambah lagi....Redha sahaja...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...