PingJe

Monday, November 22, 2010

Kahwin muda....Nafsu atau Tuntutan?

"Untungnya ko kahwin muda," satu pujian yang biasa saya dengar. "Ko ni memang menggatal nak kahwin muda ek?" Satu tohmahan yang biasa juga saya dengar. Dan tohmahan itu biasanya saya jawab..."Bukan gatal, nak elakkan zina..."

Kahwin muda merupakan satu topik yang biasa pada zaman tok nenek kita dulu. Malah mereka kahwin pun atas pilihan orang tua mereka. Yang pasti, jarang berlaku penceraian, kena belasah atau pun kena pukul sampai mati. Mak dan ayah saya juga berkahwin atas dasar keluarga mahu mengeratkan hubungan kekeluargaan mereka.

Pada saya, tiada umur yang dikatakan layak atau tidak layak berkahwin kerana pada dasarnya Islam menuntut umatnya berkahwin apabila cukup syaratnya....dan terdapat syarat pada pengantin lelaki dan perempuan yang mana saya yakin semua orang tahu. Tetapi.... jika bercakap tentang pemilihan bakal suami atau isteri, terdapat satu golongan manusia yang telah menetapkan syarat-syarat mereka sendiri.

Saya tidak mahu menyentuh isu-isu sensitif yang saya rasa boleh menyebabkan ada pihak yang berasa hati dengan saya....cuma saya ingin kongsikan perkara-perkara menarik yang berlaku jikalau pasangan itu berkahwin muda.

1.    Dapat elakkan zina : seperti yang diinginkan oleh setiap pasangan, fitrah semulajadi manusia itu jelas.
       Maka tidak perlu saya huraikan panjang-panjang.

2.    Ada teman mengadu ketika penat, sakit, dan kesunyian :  berteman itu sudah pasti. Setiap mahluk
       dijadikan berpasang-pasangan. Maka, apabila berkahwin, kuranglah sedikit perasaan sunyi dan stress.
       Ini kerana kita ada teman untuk berbicara tidak kira waktu.

3.    Berkahwin menyebabkan umur lebih panjang : mengikut rencana yang saya baca beberapa minggu lalu,
       mengikut kajian, setiap pelukan boleh memanjangkan umur terutamanya lelaki yang semua sedia maklum
       agak pendek umur daripada perempuan (jangan marah yea...ini pun hasil bacaan saya juga). Hubungan
       intim yang berkala juga dapat memanjangkan usia perkahwinan. Maka, jangan  aci redah aje yea...
.
4.   Boleh mengurangkan kadar serangan sakit jantung : bagi mereka yang berkahwin, hubungan intim
      dikatakan dapat mengurangkan kadar serangan sakit jantung kerana itu juga merupakan satu senaman.
      Tetapi, pemakanan perlu dijaga juga....

5.   Dan yang penting...apabila mendapat zuriat, InsyaAllah, kita akan dapat menjaganya hingga dewasa (jika
      umur kita dipanjangkan Allah) :  mengikut kajian yang saya baca, makin umur lelaki dan perempuan itu
       meningkat, tahap kesuburan pasangan itu terganggu. Anak yang dihasilkan boleh mengalami masalah.
       Tetapi...jika diizinkan Allah, apa-apa pun boleh berlaku.....

Ada artikel menarik yang saya baca : Jadikanlah tempat tidur kamu sebagai tempat sesuai untuk berbincang hati ke hati. Ini kerana kamar tidur merupakan satu tempat yang khas untuk setiap pasangan. Tidak semestinya hanya untuk tidur dan yang 'wajib' itu...kamar tidur boleh dijadikan tempat luahan rasa kerana tiada siapa yang berani untuk curi-curi mendengar perbualan kita. Kadang-kala hati kita yang panas akan menjadi sejuk tatkala merenung mata pasangan yang mungkin berbuat silap di siang hari dan memohon kemaafan di atas keterlanjuran diri. Maka, kamar tidur merupakan tempat ekslusif buat setiap pasangan untuk membentuk keharmonian perkahwinan mereka.

Justeru itu, warna kamar tidur amat memainkan peranan penting. Elakkan warna merah terang jika anda terdiri daripada golongan agresif. Hidupkan kamar dengan warna merah jambu, ungu muda, hijau muda dan warna pastel yang boleh meredakan emosi. Perlu diingat...pasangan muda biasanya berdarah panas. Jika kamar itu dicat dengan warna garang, emosi akan terlibat sama. Permainan warna mudah menyerap dalam emosi seseorang.

Makan bersama....bertanya khabar ketika di pejabat....memberi hadiah dan lain-lain boleh menyemarakkan lagi hubungan suami isteri. Jika sudah ada anak, maka, didiklah mereka untuk solat berjemaah. Alhamdulillah...saya dan suami sering berjemaah pada waktu Subuh dan ada waktunya semua waktu. Itu merupakan satu permulaan yang baik bagi diri saya.

Dan bagi saya, suami tetap ketua keluarga walaupun taraf kami berbeza. Di rumah, dia adalah ketua keluarga. Segala hal perlu dibincang bersama. Jika tidak jawapannya...maka tidaklah bagi kami. Dan saya tetap berpendapat, setinggi mana seorang wanita itu mendaki, dia perlu meminta izin dari suami. Dia perlu mendengar kata suami - syurga isteri itu di telapak kaki suami.....Jikalau tidak mampu untuk mendengar kata si suami, maka, janganlah memilih dia sebagai suami. Apabila berkahwin, kuasanya lebih besar daripada ibu bapa si isteri.

Tetapi, saya juga berpendapat, isteri tetap ada kepentingan dalam keluarga. Janganlah pula mengenepikan hak si isteri hanya kerana suami bergelar ketua rumahtangga. Baru-baru ini, saya terbaca satu petikan yang menarik : Jika isteri bergaji lebih besar, janganlah pula suami yang asyik meminta wang isteri. Ganti balik wang isteri jika terpakai. Jadi, suami merupakan orang yang patut bekerja keras menyara keluarga. Jangan asyik fikir nak joli dengan duit isteri.

Dan yang terakhir : KOMUNIKASI merupakan tiang hubungan yang saya rasakan paling penting (selain hal lain). Ini kerana, kita perlu sentiasa berkomunikasi sama ada secara lisan atau tidak. Suami harus pandai melayan isteri tetapi perlu bijak menangani masalah yang dihadapi bersama si isteri. Isteri pula tidak perlu berselindung apa-apa dengan suami. Perlu diingat...lelaki tidak suka mendengar yang remeh temeh, cakap saja apa yang kita mahu. Sama ada kita dapat atau tidak....itu hak suami untuk memberikannya kepada kita. Dan bagi si isteri, janganlah asyik membandingkan hidup keluarga sendiri dengan keluarga orang lain. Allah sudah jadikan pasangan kita itu yang terbaik buat kita. Jangan asyik meminta-minta jika sudah tahu suami tidak mampu.....Suami bukannya peti besi yang simpan wang berjuta-juta....

Kahwin muda itu banyak dugaannya. Bagaimana harus kita hadapinya? Banyakkan ilmu di dada...banyakkan berbincang, bawa bersabar, bawa bertenang.....kenali diri dan pasangan. InsyaAllah, hidup sentiasa dalam RahmatNya.....

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...