PingJe

Monday, October 4, 2010

Kasih Ibu Saudara....

Kadang kala hidup ini sukar dijangka. Kadang-kadang di atas dan selalunya di bawah. Betul ke? Hmmm...namu hidup, mati, jodoh pertemuan itu semua di tangan Allah. Semalam saya menerima berita sedih...Mak Lang saya (adik ayah yang nombor tiga) dimasukkan ke ICU.

Sebak hati ketika bercakap dengan anak bongsu Mak Lang yang juga sepupu merangkap sahabat baik baik saya sejak kecil. Menangis dibuatnya ketika dia berkata..."Kami adik beradik redha kalau Ma ditakdirkan pergi malam ni. Ma dah lama menanggung kesakitan sejak 8 / 9 tahun yang lepas. Penyakit yang doktor pun tidak tahu hujung pangkalnya."


Awal tahun 2010 mencatat kisahnya...penyakit Mak Lang sudah menampakkan tanda-tanda kronik. Semakin hari dadanya sakit dan semakin hari tubuhnya lemah. Ramadhan yang lepas menyebabkan kami mengalirkan air mata melihat dia gagahkan diri untuk berpuasa. Walaupun tinggal kulit dan tulang, namun semangat yang kental menyebabkan dia tidak berputus asa mengerjakan puasa wajib.

Kami tidak berapa jelas akan penyakit misteri yang menimpa Mak Lang kerana doktor pakar tidak mampu untuk mengesan penyakit sebenar. Justeru itu perubatan tradisional menjadi alternatifnya. Maka terjadilah cerita-cerita yang tidak enak (tidak perlulah dihuraikan kerana Syaitan itu wujud bersebab).

Apa yang saya kesalkan adalah masih ada orang yang iri hati dan berdendam hanya kerana sekelumit perasaan marah antara satu dengan yang lain. Apalah ertinya jika sanggup menyeksa insan lain hanya kerana perasaan amarah yang tidak tertanggung. Kasihan Mak Lang...yang tiba-tiba menjadi mangsa keadaan kerana dia tidak terlibat dalam urusan manusia durjana itu.

Saya masih lagi menunggu khabar berita mengenai Mak Lang hari ini. Moga-moga Allah permudahkan segala urusan kerana kami semua menyayangi Mak Lang seperti ibu kami sendiri. Membesar di hadapan matanya dan dia sanggup menguruskan anak-anak saudaranya seperti anak kandungnya sendiri membuatkan hati saya tidak keruan mengenangkan nasibnya. :(

1 comment:

midonz said...

hidup tanpa iri hati memang tak lengkap. Lumrah hidup di muka dunia. Sebagai umat Islam,tidak seharusnya kita melakukan perkara syirik yang bertentangan dengan ajaran Islam.Setiap perbuatan pasti dibalas dengan seadilnya oleh Maha Esa.Kepada semua pembaca,jangan disakiti saudara kita kerana amarah yang tercipta.Bertaubatlah sebelum terlambat.. semoga beliau selamat dari sebarang musibah...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...