PingJe

Wednesday, September 8, 2010

Biskut Raya

Sudah beberapa tahun saya tidak membeli biskut raya. Ini kerana suami lebih gemar memakan biskut yang disediakan di rumah. Tahun ini begitu juga. Namun saya tidak membuat berjenis-jenis kerana kegemaran keluarga hanya Tart Nenas, Cornflakes Madu dan Biskut Coklat Chip. Saya tidaklah pandai membuat biskut seperti kebanyakan orang, tetapi cukuplah untuk memenuhi kehendak suami dan keluarga.

Seperti orang lain, keperluan Hari Raya perlu disediakan lebih awal supaya tidak menghadapi sebarang masalah kelak. Cuti sekolah ini saya penuhi dengan menyediakan biskut dan kek serta rendang ayam resepi Opah saya.

Apa yang saya ingin sentuh adalah usaha mengurangkan pembaziran dalam hal-hal sebegini. Jika dilihat di kedai atau yang dijual oleh pembuat biskut sampingan, harga sejenis biskut boleh mencapai RM 18.00 ke RM 25.00. Itu belum dikira biji biskut lagi. Melihat akan keadaan ini, suami menyuruh saya membuat sendiri 2 jenis biskut dan Cornflakes Madu yang pasti akan habis pada bulan Syawal nanti. Berbekalkan modal RM 100.00, saya boleh menyediakan keperluan di pagi Raya tanpa perlu berbelanja besar. Cukuplah membeli kerepek pisang atau ubi pedas kerana saya tidak pula pandai menyediakan hidangan tersebut.

Begitu juga dengan kek. Sejak saya menggunakan susu sejat dan minyak jagung, saya sudah tidak gemarkan kek yang berasaskan mentega atau marjerin. Ini kerana kek tersebut agak lembut, ringan dan kurang kandungan kolestrolnya. Umur yang semakin meningkat ini membuatkan saya lebih berhati-hati dalam pengambilan makanan supaya jantung lebih sihat dan penyakit dapat dielakkan.

Apabila kita berusaha melakukan sesuatu, ganjarannya pasti mengikut sama. Saya berasa sambutan Hari Raya tidaklah perlu besar-besaran kerana yang penting adalah niat kita menyambutnya dan sebagai tanda kemenangan kerana telah berjaya melakukan amalan puasa yang sangat dituntut Allah S.W.T. Jadi, elakkan pembaziran dalam penyediaan keperluan Hari Raya (biskut, pakaian, duit raya dan sebagainya) dan berusaha untuk melakukan ibadah dengan lebih sempurna lagi.

Jangan dilupa pula zakat fitrah dan wang sedekah kepada yang memerlukan. Itulah yang akan membantu kita kelak, bukannya pakaian atau barang kemas yang menjadi ukuran di dunia. Jangan dilupa juga puasa yang ditinggal sama ada sengaja atau tidak. Gantilah ia sebelum nyawa kita diambil. Jangan menunggu terlalu lama untuk menggantikannya kerana kita tidak tahu bila kita akan 'dipanggil' kelak. Puasa enam di bulan Syawal adalah sunat tetapi besar ganjarannya. Marilah kita sama-sama berusaha mengejar kelebihan yang Allah kirimkan kepada kita semua.

Tepuk dada tanyalah iman. Apa yang penting, apa yang perlu dan apa yang perlu kita elakkan...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...