PingJe

Friday, August 6, 2010

Rumah oh Rumah....

Lima tahun dulu sepatutnya kami membeli rumah di kawasan Kuala Lumpur. Tetapi, apabila halangan menimpa, kami membawa diri ke Rawang, Selangor. Hidup jauh dari sanak saudara amat menyukarkan sama ada dalam keadaan suka atau duka. Tidak ramai yang sanggup melawat kami di Rawang. Yang biasa datang menjengah cuma keluarga saya sahaja. Apa yang berlaku biarlah menjadi rahsia kami berdua.

Saban tahun kami berasa jauh dari keluarga. Namun sejak bapa mertua terkena strok dan tidak boleh berjalan, khidmat suami sebagai anak sulung mula diharapkan. Sedangkan sebelum ini kami dibuang sebegitu sahaja. Keluarga saya amat memahami kehendak saya. Mereka memberi sokongan atas semua keputusan yang saya buat.

Akhirnya saya membuat cadangan supaya kami berpindah semula ke Kuala Lumpur atau pun daerah yang berdekatan dengan mak mertua. Biarlah luka lama itu tertanam sahaja kerana mereka semakin tua dan semakin memerlukan.

Emak dan Ayah saya sangat gembira kerana saya merupakan satu-satunya anak perempuan mereka (dari 3 beradik). Ayah pernah merajuk ketika saya berpindah ke Rawang. Kini ayah sudah bersetuju untuk tinggal sebumbung dengan kami sekeluarga.

Keputusan ini merupakan keputusan bersama. Dan yang membuatkan saya lega apabila mak mertua saya bersetuju untuk kami kembali ke Kuala Lumpur kerana dia terlalu mengharapkan bantuan suami saya yang juga merupakan satu-satunya anak lelaki mereka (dari 5 beradik) untuk membawa bapa mertua untuk menjalani rawatan yang telah berlangsung selama 2 tahun.

Jika 5 tahun yang lepas kami terpaksa 'keluar', maka sekarang ini kepulangan kami amat dinantikan. Saya tidak suka berjauhan dengan keluarga terutamanya emak saya. Saya rasakan masa amat terhad jika berjauhan. Saya lebih suka emak di depan mata. Nasib saya agak baik kerana suami turut bersetuju untuk tinggal bersama keluarga saya.

Ibu bapa semakin meningkat usia. Saya tidak mampu untuk berbuat baik sebanyak yang sepatutnya saya lakukan kepada mereka. Begitu juga dengan suami. Jadi dengan harapan, kami dapat berbakti dengan sempurna terhadap kedua-dua orang tua kami selagi hayat mereka masih ada.

Saya risau jika tidak dapat menjadi anak yang baik kerana kekangan masa dan tugas yang membataskan pertemuan kami. Saya sangat berharap agar dipermudahkan urusan mencari rumah yang bakal memuatkan saya, keluarga saya, emak & ayah saya serta mak & abah mertua saya. Kami ingin hidup dalam keluarga yang besar kerana sesungguhnya melihat mereka setiap hari akan membuatkan saya lebih bahagia. InsyaAllah.

Semoga kita semua menjadi anak yang taat walau apa cara sekalipun. Wang ringgit boleh dicari, namun jika mereka pergi meninggalkan kita tanpa kita sempat berbakti, sesungguhnya kita adalah orang yang teramat malang.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...