PingJe

Tuesday, August 10, 2010

Okey Tak?

Kahwin muda? Emmm...topik yang keluar di Mix FM (stesen radio) pagi tadi membuatkan saya tersenyum sendirian ketika memandu ke sekolah. Topik yang agak baik jika dilihat dari sudut positifnya. Saya dan suami tergolong dalam golongan tersebut. Kami bernikah seawal usia 22 tahun.  Ketika itu saya masih dalam tahun akhir di universiti dan suami sudah bekerja.

Halangan demi halangan semasa kami bertunang tidak mematahkan semangat suami saya. Tidak bagi saya yang sudah mula berasa letih dan kurang bersemangat menempuhinya. Akhirnya, pada 9 Feb 2002, kami selamat dinikahkan ala kadar. Tiada kenduri besar-besaran, tiada pelamin indah dan tiada kompang. Hanya kenduri doa selamat yang melibatkan sanak saudara, sahabat handai dan teman-teman sekuliah saya yang hadir. Tapi perasaan gembira terlalu indah untuk digambarkan kerana segala halangan dapat dikalahkan dengan semangat dan doa kami.

Saya bergelar isteri tanpa cukup ilmu di dada. Tetapi itu merupakan cabaran paling besar bagi saya. Bayangkanlah, kelas microteaching pada waktu pagi Sabtu itu dan saya bernikah selepas asar hari yang sama. Alasan berkahwin muda : saya takut dihantar mengajar ke Sabah / Sarawak. Agak kolot bunyinya, tetapi itulah hakikat pada masa itu. Tiada bulan madu atau melancong ke mana-mana kerana masih belajar dan tinggal bersama ayah dan emak saya. Kami tinggal bersama keluarga selama hampir 3 tahun, sehingga kembar saya berusia genap setahun. Sudah rezeki saya barangkali, tidak sampai usia perkahwinan 2 tahun, kami dikurniakan dengan sepasang kembar lelaki dan perempuan pada 8 Jun 2004.

Cabaran dan dugaan terlalu banyak yang perlu kami hadapi. Kami bermula dari bawah. Tiada harta dan kemewahan kerana kami berasal dari keluarga yang sederhana. Namun suami saya sentiasa berusaha meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Sehingga kini, kami mampu memiliki rumah dan kenderaan sendiri walaupun tanpa pertolongan sesiapa sahaja. Jika ada orang bertanya, dengan rendah diri kami menyatakan itu semua hasil usaha dan berkat kesungguhan kami hidup bekeluarga kerana Allah.

Niat itu penting. Bagaimana hendak mendapatkan sesuatu jika kita tidak berusaha dan memohon dari Yang Esa? Sesetengah dari kita terlupa bahawa rezeki itu datangnya dari Dia. Tanpa keizinanNya, kita tidak akan peroleh apa yang kita inginkan. Justeru itu SOLAT merupakan satu usaha ke arah itu. Cukuplah saya tersasar beberapa tahun sebelum ditarik dan dibantu oleh keluarga dan suami. Mujur saya belum sempat melakukan apa-apa yang bodoh terhadap diri saya sendiri. Pengalaman membesar di bandar merupakan pengalaman yang banyak mengajar saya supaya lebih tabah dan meniti di landasan yang betul.
Sehingga ke hari ini, saya selalu mengambil kesempatan untuk sembahyang berjemaah dengan suami kerana anak-anak akan melihat setiap tindak tanduk ibu bapanya. Maka mereka akan terus mengekalkan amalan tersebut apabila mereka dewasa kelak. InsyaAllah.

ZAKAT. Ada di antara kita yang memperoleh gaji ribuan ringgit. Apalah salahnya jika kita membuat potongan zakat pendapatan? Bukannya banyak...sekadar RM 50 hingga RM 100 sebulan. Sucikan pendapatan kita agar sentiasa  diberkati Allah. Sudah 7 tahun saya membuat potongan zakat. Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu, keluarga saya belum kelaparan lagi. Ini janji Allah.

KERJASAMA dan TOLAK ANSUR. Seringkali saya berdebat dengan teman-teman sekerja atau pun pelajar akan hal ini. Suami isteri harus saling bantu membantu. Zaman yang menyaksikan kebanyakan suami isteri bekerja untuk menyara keluarga turut menyaksikan kadar penceraian yang agak tinggi saban tahun. Mengapa penceraian boleh berlaku? Fitrah lelaki beristeri ramai atau teringin untuk beristeri lebih dari satu. Fitrah juga bahawa si isteri memerlukan dahan untuk bergantung. Jika saling berkomunikasi, tolak ansur dan hormat menghormati, penceraian boleh dielakkan. Kahwin awal tidak bermaksud kita masih mentah. Kita boleh sentiasa mencari ilmu dan bantuan untuk mengekalkan keharmonian keluarga.

Saya seorang yang amat panas baran manakala suami merupakan orang yang penyabar dan tidak banyak cakap. Pada awal perkahwinan, sering saja saya tidak berpuas hati dengan beberapa isu yang timbul. Tetapi saya berasa panas baran saya perlu diubati. Saya usahakan dengan bertanya kepada orang yang pakar, membuat kajian dan membuat solat hajat. Hanya dalam tempoh setahun, panas baran saya dapat dikawal sehingga sekarang. Jadi, saya berpendapat, setiap penyakit itu ada ubatnya. Yang penting, usaha kita ke arah itu.

Dan yang penting, DOA setiap kali selepas solat Fardhu.



Pasangan yang telah berkahwin muda memerlukan :

1. Ilmu.

2. Kesabaran.

3. Keyakinan.

4. Kesungguhan.

5. Kepercayaan.

6. Niat untuk sehidup semati hingga ke syurga.

7. Doa setiap waktu mendambakan keampunan Allah terhadap pasangan dan keluarga. Mohon dirahmati dan dilindungi.

8. Jujur dan setia.

9. Komunikasi yang efektif.

10. Hubungan yang erat.

2 comments:

Anonymous said...

Setuju..

sophietarmizi said...

terima kasih....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...