PingJe

Wednesday, August 4, 2010

Ia Hadir Tanpa Diundang....

Berita kematian Orang Besar pagi ini membuatkan saya tersentak. Walaupun hakikatnya kematian itu memang akan hadir dalam hidup setiap yang hidup, namun saya berasa akan kesedihan pihak keluarga mereka.

Sudahkah kita bersedia menghadapi kematian? Saya belum bersedia. Masih terlalu banyak yang perlu saya lakukan demi masa depan anak2 saya yang sedang membesar. Bagaimana hidup kami jika suami yang pergi dulu? Ataupun bagaimana hidup mereka jika saya yang menutup mata sebelum melihat mereka dewasa? Persoalan2 yang timbul kadang2 membuatkan jiwa saya tidak keruan.

Amalan dan ilmu di dada belum cukup untuk saya kembali menemui Pencipta saya. Saya rasa takut yang amat sangat apabila mengenangkan hal ini. Seringkali hal ini menjadi topik perbincangan kami; suami isteri. "Biarlah saya yang mati dulu. Abang boleh cari isteri lain." Selalunya saya berseloroh begitu dan dia akan menarik muka tanda protes.
Hakikatnya saya tidak boleh hidup tanpa dia. Kerana dia yang membangunkan semangat dan jiwa saya semasa tiada orang lain yang sanggup membantu saya. Saya tidak rela jika ditakdirkan dia yang pergi dulu kerana saya akan kehilangan dahan yang paling kukuh di dunia ini.

Apa yang kita boleh buat untuk masa depan anak2? Mungkin ada yang menjawab : Belilah perlindungan / insurans untuk keluarga. Atau : Kumpullah harta banyak2 supaya menjamin masa depan keluarga. Memang betul akan hakikat itu. Namun yang pastinya, jangan kita lupakan ilmu akhirat yang wajib diterapkan oleh ibu bapa terhadap anak2 mereka.

Saya tidak mahu bersikap skeptikal dalam hal ini. Jika kita mahukan yang terbaik untuk anak2, tunjukkanlah tauladan. Syurga / Neraka : bukanlah menjadi pilihan yang boleh kita pilih sesuka hati kita. Semua itu kerja yang Maha Pengasih. Saya percaya bahawa semua ibu bapa inginkan kebahagiaan anak2 di dunia & di akhirat. Tetapi, apakah tindakan kita untuk ke arah itu? Tepuk dada, tanyalah iman.

Saya berubah perlahan2 hasil dorongan suami. Saya tidak mahu bahunya terbeban dek dosa saya sebagai Wanita / Isteri. Mujurlah saya tidak terpengaruh dengan hasutan luar yang makin menggila sejak akhir2 zaman ini. Saya inginkan yang terbaik buat anak2 saya. Justeru itu, perubahan itu harus datang dari dalam diri kita sendiri sebelum kita cuba untuk mengubah diri orang lain. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Wanita bekerjaya sering kali dibebani dengan tanggungjawab2 yang besar terutamanya di rumah bersama suami dan anak2. Sering kali saya mendengar rungutan dari teman2 mengatakan mereka tidak mendapat bantuan yang sewajarnya ketika berada di rumah. Pada mulanya saya begitu jua. Puas merajuk dan menarik muka, akhirnya suami dengan sendirinya membantu saya membuat kerja2 di rumah.

Tidaklah dayus seseorang lelaki itu hanya dengan membantu isteri di rumah. Malah akan merapatkan hubungan suami isteri terutamanya di dapur. Suami saya suka memasak. Malah dia lagi hebat daripada saya apabila menyediakan hidangan berat. Saya rasa disayangi apabila merasa juadah yang disediakan olehnya. Manakan tidak, dalam seminggu, jika asyik saya yang memasak akan terasa bosan dengan air tangan sendiri. Nak juga merasa masakan orang lain.

Hubungan suami isteri yang baik akan terpancar pada raut wajah si isteri. Jika bahagia, senyumnya melebar. Begitu juga sebaliknya. Jika ditakdirkan suami saya yang pergi dulu, saya tidak dapat membayangkan kehidupan kami anak beranak Selama ini, dia bersusah payah menjaga kembar kami yang sering terjaga waktu malam. Anak lelaki saya menghidap lelah. Pantang minum / makan yang berais, mesti akan batuk2 pada waktu malam. Suami saya yang sering menjaga si Abang tanpa banyak rungutan. Suami juga merupakan dorongan yang kuat untuk saya terus menjadi seorang pendidik.

Bagaimana pula ibu / bapa kita? Bagaimana pula kalau mereka yang pergi dulu sebelum kita sempat membalas segala pengorbanan mereka? Justeru itu, saya mengambil keputusan untuk berada dekat bersama mereka. Kasih sayang mereka tiada sempadan. Kita harus membalas jasa selagi mereka masih ada bersama kita. Jangan pula berasa menyesal jika Malaikat Maut datang menjengah mereka. Semua harta & kekayaan tiada maknanya jika kita tidak dapat membuatkan mereka bahagia.

Kehidupan itu anugerah. Kematian itu pasti. Yang jelasnya, sudahkah kita bersedia dari segi fizikal, mental, emosi  & rohani? Yang pergi tetap pergi  & yang hidup harus meneruskan kehidupan. Namun yang pasti, kehidupan sudah tidak sama lagi dengan pemergian insan yang kita paling sayangi.

Ada teman2 yang kehilangan ibu / bapa meluahkan rasa sedih mereka kepada saya. Saya tidak mampu untuk memujuk hati mereka kerana saya juga mengerti kehilangan itu tidak dapat dicari ganti. Hanya doa yang dapat saya kirimkan kepada yang telah pergi semoga roh2 mereka sentiasa mendapat lindungan dan rahmat dari Yang Esa.

Semoga kita berubah menjadi insan yang lebih baik dari semalam. Kematian itu datang tanpa diduga. Ia tidak pernah diundang menjadi sebahagian daripada kehidupan. Namun ketetapan Yang Maha Kuasa tidak dapat dielakkan walaupun ke lurah mana kita bersembunyi. MasyaAllah......

Mudah-mudahan, kita semua dimatikan dengan mudah dan dalam keimanan. InsyaAllah....

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...