PingJe

Thursday, August 12, 2010

Gelagat Kembar...

Bulan Ramadhan tiba lagi. Seperti biasa semua umat Muhammad akan menjalani ibadah ini hanya kerana Lillahi Ta'ala. Tapi tak tahu la kalau ada yang sudah berniat nak shopping baju raya, kuih raya dan sebagainya. Perkara ini mungkin sudah biasa di lihat di mana-mana jua. Kebiasaannya, kaum wanita lah yang terlebih-lebih dalam hal ini  (jangan marah ye....)

Pada tahun ini, saya sudah mula melatih abang dan adik (kembar) untuk menjalani ibadah puasa. Kembar yang kini sudah berusia 6 tahun sudah mula faham kenapa saya dan suami berpuasa saban tahun. Yang membuatkan ia seperti masalah kepada saya adalah .... saya bukanlah orang yang suka bersahur. Saya tahu hukumnya bersahur, tetapi sejak kecil hingga kini, saya kurang gemar untuk bangun bersahur. Saya akan kehilangan banyak tenaga jika bangun bersahur. (Alasan lah tu....)

Tapi, hakikatnya saya mudah kepenatan, mungkin tekanan darah rendah juga memainkan peranan. Tetapi, walaupun tidak bersahur, saya kekal cergas di sekolah atau pun ketika membeli keperluan di penghujung Ramadhan.

Namun, kebiasaan itu perlu saya ubah demi membantu kembar saya yang perlukan zat dan tenaga yang mencukupi untuk berpuasa. Hari pertama bersahur : kembar makan dengan berselera walaupun hanya dengan telur goreng & kicap (favourite menu). Setelah bersiap sedia, saya memandu ke sekolah dalam jam 6.30 pagi. Kepala mula berpusing. Saya tak sedap badan. Itulah kelemahan saya : tak boleh tak cukup tidur.

Di sekolah, mood saya kacau. Pening bukan kepalang. Saya gagahi jua. Selesai tugas2 di sekolah, saya segera mengambil anak di rumah pengasuh. Jam 2.00 ptg. Elok saja si abang mengoyak kertas pembalut chewing gum : diserah separuh kepada si adik. Mengunyah sambil tersenyum.

Angin satu badan (perkara biasa....). Saya mengugut : Kalau macam ni, tak payah pergi bazar Ramadhan. Tak payah beli kuih. Tak payah minum air sedap2. Adik sudah mula menangis. Abang buat muka tak bersalah.

Tapi naluri ibu tetap begitu : Saya buatkan puding telur strawberi, sup fishball dan ayam goreng ala KFC.
Lebih kurang jam 6 lebih, kembar mula merayu; kelaparan. Terus saya hidangkan makanan. Berselera sungguh.

Hari kedua, alhamdulillah, sampai jam 5 petang menahan kelaparan. Abang berjaya tanpa makan atau minum. Adik? Hmmm...pukul 2 sudah menggeledah peti sejuk; lapar.

Gelagat anak2 sukar diduga. Saya dimaklumkan emak, sudah mula berpuasa penuh sejak 6 tahun lagi. Mungkin daya ketahanan tinggi berbanding anak2 saya. Yang pastinya, sebagai ibu bapa, dorongan dan 'ugutan' kadang2 perlu untuk memastikan mereka di laluan yang betul. Saya selalu berdoa dan berharap agar anak2 saya dan juga anak2 didik saya sentiasa tabah mengharungi rintangan hidup agar menjadi umat Muhammad yang taat dan beriman kepada Allah S.W.T. InsyaAllah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...