PingJe

Wednesday, July 28, 2010

KEHIDUPAN SEIMBANG

Apabila pelajar mengadu yang emaknya suka mengarah dan tidak faham akan kehendaknya, saya rasa perkara itu biasa sahaja. Ini kerana kebanyakan ibu akan bersikap serupa. Namun saya terpanggil untuk bertanya lebih lanjut. Jawapan yang saya terima pun di dalam jangkaan saya.

Dikatakan bahawa ibu lebih menekan anak-anaknya dari pelbagai segi. Dahulunya saya berasa perkara itu biasa sahaja kerana dalam tempoh menjadi dewasa, saya juga mengalami pebagai perubahan dalam kehidupan. Namun, jika yang berbeza cuma emak saya merupakan orang yang agak berfikiran terbuka pada ‘zaman’ itu.

Saya bertanya lagi. Katanya ibunya sering memaksanya untuk belajar dan terus belajar tanpa bertanya keperluan dan kehendak si anak. Kasihan saya mendengarnya kerana dalam zaman ini, ilmu dan kekayaan sama naik dan sama pentingnya. Jika tiada ilmu, sukar untuk mendapat tempat di universiti. Jika tiada diploma atau segulung ijazah, maka sukarlah untuk bekerja kelak.

Saya cuba garapkan beberapa langkah atau cara bagi mereka yang mempunyai masalah yang lebih kurang sama. Apakah masalah itu?
1) Sukar untuk belajar.
2) Kurang fokus dalam apa jua aktiviti.
3) Tidak tahu cara pembahagian masa

CUBAAN PENYELESAIAN:

1) Perkara ini akan dialami oleh ramai pelajar tidak kiralah pada peringkat mana sekali pun. Saya juga mengalami perkara yang sama ketika di sekolah menengah. Tumpuan saya lebih ke arah benda lain – sukan, budak lelaki, majalah, artis….tetapi, ada satu peringkat di mana saya tersedar bahawa dunia ini tidak akan berhenti berpusing hanya kerana diri kita. Jika diukur, kesedaran yang hanya bermula pada umur 16 tahun sudah agak terlambat jika hendak mendapat yang terbaik.

Apa yang berlaku? Kami berpindah ke kampung setelah ayah diberhentikan kerja. Keadaan gawat memaksa emak menoreh getah. Kebendaan yang dulunya mudah, kini amat sukar. Saya tinggal di asrama yang jauhnya hampir 2 jam perjalanan menaiki bas. Dan yang paling seksa, saya berhadapan dengan satu dunia yang memulaukan saya hanya kerana saya tidak fasih dengan dialek mereka. Dan tiba-tiba sahaja saya mendapat penyakit Vitiligo pada kawasan muka saya. (Penyakit kulit). Keyakinan diri saya terus lumpuh!

Namun, saya agak bernasib baik dapat mengejar kembali apa yang sudah saya tinggalkan. Perkara pertama: niat saya sudah berubah – ingin mendapat keputusan SPM yang baik jika saya ingin tingkatkan kehidupan keluarga saya. Perkara kedua: dunia saya tidak lagi hanya berkenaan diri saya. Ianya sudah melibatkan maruah keluarga saya. ‘BOYS’ bukan lagi perkataan kegemaran saya. Perkara ketiga: keyakinan diri saya semakin meningkat apabila saya yakinkan bahawa, setiap insan yang dijadikan Tuhan itu ada kelebihan dan kekurangan. Maka, gunakanlah kelebihan itu untuk mengatasi kekurangan tersebut.

Jadi, jika sukar untuk belajar itu menjadi masalah, carilah satu panduan yang boleh memaksa kamu untuk terus mencari ilmu. Belajar di sekolah bukan bermaksud belajar ilmu dunia sahaja. Kamu boleh belajar pelbagai perkara yang menarik kerana dalam usia 13 – 22 tahun itu, pelbagai cabaran dan dugaan akan kamu lalui. Pahit atau manis, itu yang mencorakkan kehidupan kamu sebagai insan, bukannya sebagai pelajar. ‘INSAN’ itu harus melalui semua cabaran tanpa mengaku kalah. Katakan pada diri : “Aku perlu lakukan ini dan itu sebelum aku menjadi ini atau itu”. Cabar diri kamu supaya berada dalam tahap yang selesa. Jangan terlalu menekan kerana otak yang tertekan akan mula memaksa badan melakukan sesuatu yang kurang sihat.

2) Untuk fokus, minda kita perlu berada dalam keadaan sihat. Ustazah pernah mengingatkan saya supaya memakan banyak kismis (raisins). Selawat dan makan tujuh biji sebelum melangkah keluar untuk ke kelas. Tujuannya supaya ilmu pada hari itu akan kekal dalam satu sudut otak. Dikatakan bahawa kismis itu mengandungi bahan yang boleh menguatkan ingatan otak. Pada ketika itu saya hanya melakukannya atas dasar nasihat seorang guru. Alhamdulillah, keputusan PMR saya lebih baik daripada yang saya harapkan. Begitu juga dengan SPM dan peperiksaan di peringkat universiti.

Fokus di dalam kelas juga dapat membantu kerana telinga yang mendengar dengan teliti akan membantu otak menyimpan data lebih lama. Kebanyakan pelajar tidak suka mendengar celoteh guru di depan. Mereka akan mencari alas an mengatakan subjek itu membosankan. Padahal, seorang guru yang bagus atau baik tidak akan berceloteh tanpa sebarang kaitan dengan subjek. Cuba tukarkan celoteh itu kepada maklumat yang tiada ditulis di dalam buku teks.
Mata, telinga dan jari adalah kolaborasi terbaik untuk membantu otak menyimpan data yang diterima dalam satu-satu masa. Kebanyakan pelajar hanya boleh merima input selama 1 jam. Selepas itu, kolaborasi tersebut akan mula berkhayal. Mata melihat, telinga mendengar, dan jari perlu menulis walaupun mengunakan ringkasan. Ini penting kerana kita memaksa mereka bekerja untuk kita.

Jika kita terlupa salah satu anggota tersebut, otak akan mula menerawang dan berkhayal kerana kita yang menyebabkan ia bertindak sedemikian. Orang lalu-lalang juga adalah tarikan mata. Berhenti melihat orang di luar kelas. Paksa mata untuk membantu otak!
Apabila hari sudah selesai. Balik ke rumah dan rehatkan anggota. Sebelum terlupa, pastikan kita ulang tayang aktiviti, ulangkaji, atau apa pun yang diajar oleh guru pada siang hari. Otak kita memerlukan ruang simpanan. Hanya kita yang tahu kapasiti otak kita.

3) MASA ITU EMAS. Tahukah kita bahawa masa itu tidak boleh dirugikan walaupun satu saat? Saya banyak merugikan masa saya dan keluarga dalam beberapa tahun. Tapi saya rasa bersyukur kerasa Tuhan masih sayangkan saya. Kesedaran dari awal membantu saya bangkit untuk mendapatkan yang terbaik dalam kehidupan.

Televisyen, movies, dating, dan melepak mungkin menjadi perkara penting dalam kehidupan kamu. Hiburan itu penting, namun hanya bila kita perlukan sahaja. Stres boleh menyebabkan kamu hilang tumpuan, selera makan, susut berat badan dan banyak lagi. Jadi, hiburan itu akan membantu menghilangkan stress. Namun, jangan berlebihan kerana ia akan merosakkan minda dan badan kita.

Cuba untuk menjadualkan aktiviti seharian. Tidak semestinya terlalu sukar untuk diikuti. Buat jadual harian. masukkan semua aktiviti untuk seminggu termasuklah hujung minggu. pastikan mempunyai rehat dan masa untuk mengulangkaji yang cukup.

Jika di asrama, waktu petang lebih ke arah beriadah dan bersukan kerana dikatakan pada waktu ini otak kurang tumpuan. Jadi, penuhkan waktu petang dengan aktiviti untuk merehatkan otak. Membaca buku cerita juga dapat menguatkan otak sebelah kanan. Jika dengan Sudoku boleh menggembirakan kamu, ianya juga akan menyihatkan otak sebelah kiri kamu.

Karaoke boleh mengurangkan stress dengan kadar yang lebih cepat kerana lantunan dan suara yang dilemparkan akan mengeluarkan emosi kamu pada ketika itu.

Dan yang paling penting : MAKAN IKUT WAKTU. JANGAN LUPA SARAPAN PAGI. AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT MENGIKUT KEPERCAYAAN KELUARGA KAMU.
7.00 – 8.00 PG SARAPAN
10.00 PG MINUM PAGI & BISKUT
12.00 – 2.00 PTG MAKAN TENGAHARI
4.30 PTG MINUM PETANG & KUIH
6.30 PTG – 8.00 MLM MAKAN MALAM : RINGAN. JANGAN MAKAN MAKANAN
BERAT. TIDAK ELOK UNTUK SISTEM PENCERNAAN DAN
MUDAH MENGALAMI OBESITI.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...